KUALA LUMPUR: Golongan penjaja kecil tidak perlu mendapatkan  kelulusan COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), untuk meneruskan perniagaan mereka.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, kumpulan penjaja kecil yang sudah mempunyai permit kekal atau sementara, hanya perlu memastikan permit itu dipamerkan.

Menurut KPKT, arahan itu terpakai biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 14 Jun ini, telah menetapkan hanya beberapa sektor dibenarkan dengan kelulusan CIMS.

“Sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

“Kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu,” menurut kenyataan itu lagi pada Rabu.

BACA: 'Total lockdown' seluruh negara bermula 1 Jun - Perdana Menteri

Dalam pada itu, KPKT mengingatkan semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 28 Mei lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang tempoh, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang disenaraikan oleh MKN.